
Twitter Datuk Seri Najib Tun Razak
Ranking Twitter Datuk Seri Najib Ke 11 Paling Popular Di Dunia | Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersenarai sebagai pemimpin politik yang ke-11 paling popular di dunia dan yang pertama di Malaysia menurut laman pemantau internet, Sosialbakers.
Najib ketika diminta mengulas tentang pemantauan itu berkata: “11 itu nombor kegemaran saya, hari ini mungkin lebih tinggi.”
Beliau ditemui selepas majlis bersama Pasukan Relawan Malaysia di Pusat Tamadun Islam di sini semalam.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika ditemui berkata, laporan ranking itu menunjukkan Najib popular dalam kalangan generasi muda di negara ini yang banyak mengakses media sosial.
“Ini menggambarkan Perdana Menteri populis (popular) bukan sahaja di Malaysia malah juga di seluruh dunia,” katanya.
Pemantauan laman web trafik internet Sosialbakers (www.sosialbakers.com) terhadap Twitter Najib (@Najib Razak) mencatatkan pengikut tertinggi dengan jumlah 1,517,658 selain mencatatkan 100,312 pengikut baharu bulan lepas.
Tokoh-tokoh politik Malaysia lain yang turut tersenarai dalam laman web tersebut dengan pengikut Twitter yang ramai ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dengan 479,856 pengikut dan ranking ke-38 dunia.
Ia kemudiannya diikuti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hanya 281,146 pengikut di tempat ke-69 di dunia dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan 265,606 pengikut di tempat ke-76 di dunia.
Berdasarkan ranking tersebut, Najib turut meninggalkan selebriti terkemuka tanah air seperti Lisa Surihani (1.3 juta), Zizan Razak (1.2 juta), Shaheizy Sam (1.01 juta) dan Datuk Siti Nurhaliza (926,809).
Akaun Twitter Perdana Menteri itu terbukti mempunyai pengaruh yang besar dalam komuniti siber memandangkan beliau setakat ini hanya menghantar 3,797 komen dan memperoleh 1.51 juta pengikut berbanding dengan 27,656 komen dalam akaun twitter Anwar yang hanya mampu menarik 281,146 pengikut.
Dalam pada itu, seorang blogger terkemuka, Fatin Liyana Asri ketika dihubungi Kosmo! berkata, laporan tersebut menunjukkan Najib merupakan seorang pemimpin yang mudah untuk didekati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Pada masa kini, media sosial menjadi medium utama kepada semua pihak menyuarakan pendapat mereka dan dengan adanya laman sosial seperti Twitter, ia akan memudahkan rakyat negara ini untuk mengetahui segala perkembangan mengenai Perdana Menteri.
“Ia juga membuktikan bahawa beliau benar-benar komited untuk mendekati rakyat dan seterusnya berusaha untuk menyelami masalah mereka,” katanya.
SUMBER

Posting Komentar